Rabu, 21 Disember 2011

RENCANA

Sebagai wartawan sebuah majalah sukan, anda ditugaskan untuk menulis rencana yang bertajuk “Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara”.Tulis rencana itu selengkapnya.



Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara 
Oleh: Mohd Shahir Mohd Shah


Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam semua perlawanan pada Kejohanan Piala Asia (AFC) serta tumbangnya jagoan badminton negara dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Itu belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaran “jaguh kampung?” Ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa pun pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan negara-negara lain dalam bidang sukan.

Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan. Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan-persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-persatuan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara “sebulat suara” ini, sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka. Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah “dianak tirikan” oleh mereka. Kedangkalan ilmu tentang bidang sukan serta kegagalan memahami perubahan yang berlaku, mewajarkan ketandusan pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani oleh individu yang berkelayakan. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, bak kata pepatah, “hanya jauhari yang mengenal manikam”.

Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing dan mampu mengibarkan cabaran negara pada peringkat antarabangsa. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang cukup banyak untuk menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya. Berhubung dengan isu ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman pernah menegur tentang cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan program-program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita terus ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus gagal membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mampu memecah penguasaan China dan Indonesia dalam arena badminton. Biarpun munculnya “gandingan emas”, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, namun kegagalan pasukan negara dalam Kejohanan Badminton Dunia bulan lalu menterjemahkan segala-galanya. Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan pengemblengan usaha dan iltizam semua pihak, pastinya “sinar di hujung terowong” dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara kita.

Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri di dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman yang mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian ratu squasy negara, Nicole Ann David sehingga membolehkan beliau berada pada kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada penyertaan yang tidak putus-putus dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, “seperti melepaskan batuk di tangga”. Sebaliknya ia menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan para atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.

Sesungguhnya kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan terus berlanjutan kerana ia sedikit sebanyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh tahun, seharusnya ia telah mematangkan pencapaian kita dalam bidang sukan. Mungkin tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihak, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan. Bak kata pepatah “pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah ada di tangan”, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat Malaysia. “Majulah sukan untuk negara!”

SYARAHAN

PUNCA-PUNCA DAN LANGKAH MENGATASI KEMALANGAN JALANRAYA


Assalamualaikum. Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berbahagia Tuan Pegawai Daerah Kubang Pasu, pegawai polis trafik, dan hadirin yang dihormati sekalian. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan ceramah dalam majlis ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kes kemalangan jalan raya menjelang hari raya semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Pada tahun-tahun lepas kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri tidak sebanyak pada tahun lepas. Terdapat banyak punca yang menyebabkan berlakunya peningkatan kes kemalangan jalan raya di negara kita.
Antara punca utama kemalangan itu ialah kebanyakan pemandu tidak mempunyai lesen memandu. Sesetengah pemandu juga menggunakan lesen memandu yang palsu. Oleh itu, apabila tidak memiliki lesen yang sah, maka pemandu tersebut sudah semestinya tidak cekap dan tidak biasa memandu kenderaan. Hal ini akan mengakibatkan kemalangan. Setiap pemandu harus mempunyai lesen kenderaan kerana sebelum seseorang itu memperoleh lesen memandu, mereka telah didedahkan dengan teknik pemanduan yang betul. Malah apabila mereka lulus ujian pemanduan barulah mereka dianggap layak memandu kenderaan. Oleh itu seseorang yang masih tidak mempunyai lesen memandu dinasihatkan agar tidak memandu kenderaan di jalan raya.
Selain itu, kebanyakan kes kemalangan jalan raya juga berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan itu sendiri. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mengantuk. Biasanya keadaan mengantuk ini berlaku ketika tengah hari dan sebelah malam. Mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk besar kemungkinan terlelap seketika semasa memandu. Seterusnya mengakibatkan kenderaan mereka terbabas ataupun melanggar kenderaan lain pada arah yang bertentangan. Saya amat berharap agar para pemandu memastikan mereka tidak mengantuk semasa memandu kenderaan mereka. Sekiranya pemandu mengantuk mereka dinasihatkan supaya berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.
Para hadirin sekalian,
Kemalangan juga boleh berlaku apabila pemandu dalam keadaan mabuk. Kemampuan pemandu untuk mengawal kenderaan mereka akan menjadi berkurangan apabila mereka mabuk. Hal ini kerana mereka memandu dalam keadaan berkhayal. Kenderaan yang dipandu mungkin akan membelok ke kiri dan ke kanan sehingga menyebabkan kemalangan. Lebih malang lagi jika kecuaian pemandu ini melibatkan kemalangan kepada pihak lain. Saya juga berpesan kepada semua hadirin agar tidak sekali-kali memandu dalam keadaan mabuk. Ia bukan sahaja membahayakan nyawa anda malahan pengguna jalan raya yang lain.
Kita seharusnya memandu kenderaan yang sempurna sifatnya. Sebelum memandu kenderaan, kita mesti memeriksa kenderaan kita supaya selamat untuk dipandu. Contohnya, keadaan minyak hitam, brek, bateri, air, dan lampu berada dalam keadaan baik. Terdapat pemandu yang tidak menghiraukan masalah ini. Mereka mengabaikan kesempurnaan kereta mereka. Contohnya, mereka tidak mengganti tayar yang haus. Apabila tayar kita sudah haus, sudah tentu daya cengkaman kenderaan itu akan berkurangan. Hal ini lebih membahayakan ketika hujan kerana sewaktu hujan, cengkaman tayar dengan jalan raya semakin berkurangan. Jelas di sini, tayar yang haus boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Bagi mengatasi masalah ini, pihak polis trafik telah mengadakan pelbagai usaha bagi mengurangkan lagi kadar kemalangan jalan raya. Usaha yang dilakukan nampaknya masih kurang berkesan. Pihak kami sering mengadakan kempen keselamatan jalan raya terutama sempena sambutan hari raya. Hal ini kerana kami telah mendapat maklumat bahawa kejadian kemalangan jalan raya semasa musim perayaan meningkat dengan mendadak berbanding hari-hari lain. Hal ini kerana semua rakyat di Malaysia akan melakukan perjalanan jauh sarna ada pulang ke kampung ataupun pergi melancong. Kempen-kempen yang dilakukan tertumpu di jalan-jalan utama di seluruh negara. Melalui kempen ini sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya.
Pada tahun lepas, Menteri Besar Kedah telah menyertai kempen keselamatan jalan raya. Kempen ini telah diadakan di lebuh raya Bukit Kayu Hitam-Sungai Petani. Ketika beliau berucap, beliau telah menekankan kesedaran kepada para pemandu agar memandu kenderaan mereka dengan cermat. Malah beliau juga turut memberikan baju keselamatan kepada penunggang motosikal. Kempen ini sekurang-kurangnya berjaya memberikan sedikit pengetahuan kepada pengguna jalan raya.
Pihak polis trafik juga telah memasang kamera perangkap kelajuan. Kami telah memasangnya di tempat-tempat yang strategik iaitu kawasan yang biasanya dipandu laju oleh pemilik kenderaan. Jika mereka memandu dengan kelajuan melebihi 110 km sejam, justeru kamera perangkap kelajuan ini akan merakam gambar kereta dan pemandunya. Selepas disemak oleh pegawai kami, dan didapati mereka telah melanggar had kelajuan yang dibenarkan, pihak kami akan menghantar surat sama kepada pemiliknya. Cara ini telah dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama di Lebuh Raya Utara-Selatan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pasukan polis trafik bertugas selama 24 jam di sekitar jalan raya utama di negara ini. Mereka akan memastikan agar pemandu tidak membawa kenderaan mereka dengan laju atau secara berbahaya. Jika para pemandu memandu kenderaan mereka dengan laju, mereka boleh disaman ataupun kenderaan mereka boleh ditahan. Banyak saman telah dikeluarkan oleh pasukan polis trafik melalui cara sebegini terutamanya di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan di Johor Bahru.
Jelaslah bahawa kemalangan jalan raya sebenarnya berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri. Seandainya pemandu itu berhati-hati ketika memandu maka kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Tetapi seandainya pemandu itu masih lagi berdegil dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya justeru kadar kemalangan ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Oleh itu saya berharap agar setiap yang hadir ini menyedari pentingnya kita berhemah semasa memandu di jalan raya. Saya juga berharap perkara ini dapat disebarkan kepada orang lain yang tidak menghadiri majlis ini.
Sebelum saya mengundurkan diri besarlah harapan saya agar kemalangan jalan raya di negara ini dapat dikurangkan. Sekian, terima kasih.



SURAT RASMI

Di kawasan tempat tinggal anda terdapat pelbagai masalah keselamatan yang timbul berpunca daripada pendatang asing yang terlalu ramai di kawasan itu. Sebagai wakil penduduk di tempat anda. tulis sepucuk surat kepada pihak yang berkuasa bagi mengadukan hal tersebut agar masalah ini dapat diselesaikan.



Lin Cheng Heng,
No.6, Jalan Limau Purut 3,
Taman Cheras Perdana,
52400 Kuala Lumpur.

Ketua Balai,
Balai Polis Cheras,
Jalan Ikan Emas 2,
53000 Cheras,
Kuala Lumpur                                                                                                                  16 JULAI 2011

Tuan,

Aduan Tentang Masalah Pendatang Tanpa Izin di Taman Cheras Perdana

Merujuk perkara di atas, saya Lin Cheng Heng selaku setiausaha penduduk Taman Perdana, ingin membuat aduan tentang masalah pendatang tanpa izin yang begitu ramai bilangannya di kawasan tempat tinggal kami. Akibat bilangannya yang terlalu ramai, pelbagai masalah sosial telah timbul sehingga mengganggu ketenteraman hidup penduduk di kawasan ini.

2.          Untuk makluman pihak tuan, kawasan ini menjadi tumpuan pendatang tanpa izin kerana banyak bangunan baru didirikan di kawasan ini. Hal ini menyebabkan ramai pekerja tanpa izin bertumpu di kawasan ini untuk bekerja sebagai pekerja bangunan kerana di mana ada gula, di situ ada semut. Kebanyakan daripada pendatang tanpa izin itu tertumpu di Jalan Limau Manis 4 dan Jalan Tembikai 3. Mereka tinggal di dalam pondok-pondok sementara yang disediakan oleh pemaju dan didirikan daripada kayu. Perkara yang membimbangkan kami ialah sebahagian daripada pendatang tanpa izin tersebut melakukan pelbagai jenayah dan mengancam keselamatan penduduk tempatan di kawasan ini.

3.         Sebelum kedatangan mereka di kawasan ini, kehidupan kami amat aman dan makmur. Namun begitu, kehadiran mereka sejak lima bulan yang lalu telah mengubah segala-galanya. Kejadian kecurian dan rompakan sering kali berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Sehingga kini terdapat 6 kejadian pecah rumah dan rompakan yang telah diadukan kepada pihak polis. Kebanyakan rompakan tersebut melibatkan senjata tajam seperti parang dan senjata tajam yang lain. Hal ini menyebabkan kami berasa takut sekiranya kejadian seperti itu berulang semula. Kami juga percaya bahawa kejadian jenayah tersebut melibatkan pendatang tanpa izin melalui pertuturan mereka semasa kejadian jenayah itu berlaku. Hal seperti ini amat merungsingkan penduduk di kawasan ini.


4.          Selain itu, sebahagian pendatang tanpa izin di kawasan ini turut berkelakuan tidak sopan terhadap penduduk tempatan di sini. Beberapa orang gadis yang pulang lewat daripada bekerja telah diganggu dengan kata-kata yang tidak menyenangkan. Mereka juga sering mengeluarkan kata-kata berbau lucah kepada penduduk di kawasan ini sehingga pernah menyebabkan pergaduhan di antara pendatang tanpa izin dengan penduduk di taman ini. Sebagai ibu bapa di kawasan ini, kami berasa bimbang jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini ke atas keluarga kami. Justeru, kami berharap agar pihak tuan mengambil tindakan awal seperti kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Kami tidak mahu ada di antara penduduk di kawasan ini yang akan menjadi mangsa akibat kelewatan kita mengambil tindakan kerana nasi sudah menjadi bubur.

5.          Pada masa yang sama, sebahagian daripada pendatang tanpa izin tersebut juga melakukan pelbagai jenayah seperti berjudi dan menyalahgunakan dadah. Hal ini telah kami maklumi melalui beberapa orang penduduk yang pernah terserempak dengan mereka ketika melakukan jenayah tersebut. Sebelum ini, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Keadaan ini juga amat membimbangkan penduduk di kawasan ini kerana kami takut sekiranya ada di antara anak-anak kami yang akan terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat tersebut. Justeru kami meminta agar pihak tuan mengambil tindakan awal kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.


6.         Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan agar pihak tuan dapat mengambil tindakan dengan secepat mungkin. Antara cadangan kami termasuklah meminta pihak tuan membuat serbuan dan menangkap pendatang tanpa izin di kawasan kediaman kami. Kami juga mencadangkan agar pihak tuan dapat membuat rondaan dengan lebih kerap supaya kejadian jenayah yang membimbangkan kami tidak berlaku di sini. Sekiranya pihak tuan memerlukan bantuan dan kerjasama daripada penduduk di kawasan ini, kami sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan.


7.         Akhir kata, saya berharap agar pihak tuan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera demi keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan ini. Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai dan didahului dengan jutaan terima kasih.

Sekian, terima kasih.


Yang menjalankan tugas,

Linchengheng
...................
(LIN CHENG HENG)
Setiausaha,
Persatuan Penduduk Taman Cheras Perdana.

Isnin, 19 Disember 2011

INTERNET LEBIH BANYAK MENDATANGKAN KEBAIKAN DARIPADA KEBURUKAN

Internet lebih banyak mendatangkan kebaikan daripada keburukan. Bersetujukah anda dengan pernyataan di atas dan berikan alasan-alasan yang munasabah bagi menyokong hujah anda.

         Kita harus mengikut arus semasa yakni internet merupakan satu budaya baharu dalam masyarakat kini. Lantaran itu, internet tidak boleh dipandang sebagai sesuatu yang berunsur negatif tetapi sebaliknya untuk memastikan rakyat dan negara ini standing dengan negara yang lain dalam mengejar arus pembangunan semasa. Maka, ada pelbagai impak positif yang dibawa oleh internet.
         Internet merupakan satu budaya baharu yang memudahkan kehidupan manusia terutama dalam aspek komunikasi atau berhubung secara langsung dengan orang lain. Hubungan antara saudara mara yang tinggal jauh daripada kita termasuklah di luar negara maka internet boleh digunakan. Internet menjadikan komunikasi lebih cepat dan berkesan lalu mengeratkan hubungan antara manusia pula.
         Manakala buat pelajar pula, internet pula boleh menjadi satu perpustakaan besar atau maya yang memberikan manfaat kepada pelajar. Semua maklumat atau informasi ini seolah-olah berada dihujung jari pelajar sahaja untuk memperolehnya. Maklumat yang diperoleh ini menjadikan minda pelajar lebih terbuka dan kreatif dalam menghadapi cabaran kehidupan zaman moden ini.
        Pada masa yang sama kemudahan internet kini menjadikan banyak urusan harian dilaksanakan terutama aspek pembayaran bil-bil semasa. Kita sudah boleh membayar bil-bil elektrik, air dan telefon serta membuat pindahan kewangan lalu menjimatkan masa dan tenaga manusia. Kemudahan sebeginilah yang mampu menjadikan kehidupan manusia lebih bermakna akibat penggunaan teknologi moden ini.
        Selain itu, internet juga membolehkan pelajar membuat permohonan secara terus atau ?on-line? untuk memohon kerja, biasiswa atau memasuki universiti. Semua kemudahan ini mampu untuk diperluaskan dalam aspek lain pula seperti urusan dengan pihak kerajaan dan mungkin juga bidang lain. Kehidupan manusia sudah pasti akan berubah dengan adanya kemudahan internet yang sebegini.
        Kesimpulannya, kita sebagai ahli masyarakat tidak boleh berfikiran sempit dan beranggapan bahawa sesuatu yang baharu itu membawa kesan negatif sahaja. Sebenarnya kesan baik atau buruk sesuatu perkara itu banyak ditentukan oleh manusia yang menggunakannya. Namun, dalam aspek internet lebih banyak impak positif yang dibawanya daripada negative kepada kehidupan manusia.

CARA MENULIS KARANGAN DENGAN BAIK

Strategi Menulis Karangan

Ada lima langkah penting yang perlu anda ikut apabila menulis karangan.

1.     Memilih tajuk yang tepat
2.     Mencari kunci tajuk
3.     Menyediakan rangka karangan
4.     Menulis karangan
5.     Menyunting atau menyemak karangan.

Memilih Tajuk yang Tepat

1. Sesuai dengan pengetahuan, pemahaman, dan keupayaan anda menghuraikannya atau mengembangkannya sehingga menjadi karangan yang cukup isinya.
2.     Faham akan kehendak tajuk.
3.     Berupaya menghuraikannya atau mengembangkannya.
4.     Pilih tajuk yang benar-benar anda kuasai supaya karangan yang anda tulis itu tepat, padat, dan bernas.
5.     Fahami format dan laras bahasa karangan yang hendak anda tulis.

Mencari Kunci Tajuk

1. Antara kata atau rangkai kata yang mungkin menjadi kunci tajuk termasuklah kata atau rangkai kata seperti bincangkan, gambarkan, cadangkan, tulislah, andaikan, nyatakan pendapat anda,  dan sebagainya.
2.     Selepas memahami kunci tajuk, rancanglah rangka karangan anda supaya sesuai dengan kehendak soalan.

Menyediakan Rangka Karangan

1.     Rangka karangan penting supaya anda tidak lupa akan fakta-fakta atau isi-isi penting yang hendak anda huraikan.
2.  Dengan merujuk kepada rangka isi karangan, anda akan dapat menulis karangan secara tersusun dan tidak menyimpang daripada kehendak tajuk atau soalan.
3. Rangka karangan hendaklah ringkas dan sebaik-baiknya ditulis dalam bentuk isi-isi penting.
4.     Rangka karangan anda mestilah terdiri daripada

a)     Pendahuluan
b)    Isi-isi penting
c)     Penutup


Menulis Karangan

1.  Pada umumnya ada dua aspek utama yang dinilai pada karangan anda, iaitu aspek isi dan aspek bahasa.
2.     Aspek isi dinilai dengan berdasarkan perkara-perkara berikut:

a) pertalian antara isi-isi dengan tajuk. Isi yang dipilih mestilah berkaitan dengan tajuk yang dipilih.
b)    kematangan fikiran anda menghuraikan dan memberi contoh yang berkaitan dengan tajuk yang dipilih.
c)     Isi-isi perlu disusun secara tertib.

3. Aspek-aspek bahasa pula dinilai dengan berdasarkan perkara-perkara berikut:

a)     penggunaan tatabahasa
b)    ejaan
c)     penggunaan tanda baca
d)    pembahagian perenggan
e)     pemilihan kata yang tepat.




Pendahuluan

1. Pendahuluan hendaklah ditulis dalam satu perenggan sahaja dengan menyentuh sesuatu perkara yang ada kaitannya dengan tajuk karangan secara umum.
2.  Pendahuluan yang baik ialah yang dapat menarik minat pembaca serta mendorongnya untuk terus membaca.

Pembinaan Perenggan

1.  Sebaik-baiknya satu perenggan harus berisi satu isi penting sahaja. Isi penting ini pula mestilah disertai isi-isi sampingan sebagai huraian lanjut kepada isi penting dan disertai contoh-contoh pula. (Isi Penting----à Huraian Lanjut ----à Contoh)
2.     Huraian lanjut merupakan keterangan atau penjelasan sama ada maklumat tambahan, bahasan, ulasan, dan sokongan tentang isi penting.

Penjalinan Perenggan

1.   Karangan yang baik mestilah mempunyai hubungan antara perenggan pertama dengan perenggan-perenggan yang lain.
2.  Untuk memperlihatkan perkaitan antara isi, gunakan penanda wacana seperti namun demikian, walau bagaimanapun, sebaliknya, tambahan pula, dan sebagainya.

Penutup Karangan

1.  Penutup karangan adalah kesimpulan karangan anda di samping dapat membayangkan pendirian anda tentang tajuk.
2.     Kesimpulan dalam perenggan penutup mestilah lebih umum dan padat.


Menyemak Karangan

1.     Tentukan agar isi-isi penting tidak tertinggal.
2.     Tambahkan contoh jika perlu.
3.     Semak aspek bahasa, ejaan, tanda baca, dan tatabahasa.
4.     Semak jumlah kata dalam karangan anda.


Contoh : Belakangan ini stesen-stesen televisyen di negara kita banyak menyiarkan rancangan hiburan yang tidak mendorong perkembangan minda golongan remaja. Anda ingin memperkatakan hal tersebut serta nyatakan beberapa contoh rancangan yang anda maksudkan itu dan kemukakan alasan kritikan serta cadangan anda itu.

Pendahuluan

Televisyen merupakan media yang kuat pengaruhnya kepada penonton terutamanya golongan remaja. Terdapat beberapa rancangan yang kurang sesuai untuk mereka.

Isi-isi

Kesan rancangan hiburan

-  mendedahkan budaya barat yang bertentangan dengan budaya timur. Remaja terpengaruh oleh cara-cara berpakaian, pertuturan dan sebagainya. Beri contoh
-       Pemaparan unsur seks dan keganasan yang berlebihan. Mendorong remaja melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Melakukan jenayah dan merebak penyakit sosial. Beri contoh
-         Saranan rancangan yang sesuai.
-         Rancangan yang berunsur keagamaan dan menekan nilai moral
-         Rancangan yang memberi pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi
-         Rancangan yang berupaya meningkatkan kemahiran berfikir remaja.
-     Rancangan yang menampilkan kerjaya tokoh-tokoh yang mengutamakan nilai-nilai ketimuran.

Penutup

Televisyen mestilah menjadi ciptaan sains dan teknologi yang berupaya melahirkan manusia yang lebih berkualiti, bukan yang rosak akhlaknya.

Ahad, 18 Disember 2011

LATIHAN KOMSAS

Latihan 1


1.      Apakah tema cerpen ‘Gema Sepi Gadis Genius?’
2.      Nyatakan nilai-nilai yang terdapat di dalam cerpen ini serta buktikan.
3.      Bincangkan pengajaran-pengajaran yang boleh diambil daripada cerpen ini.


Jawapan:

1. Tema cerpen Gema Sepi Gadis Genius adalah kepintaran seorang remaja dalam    menangani masalah pengguna jahil (hacker) komputer.

2. Nilai-nilai yang terdapat dalam cerpen ini adalah tanggungjawab, contohnya Basirah berasa bertanggungjawab untuk menghalang penceroboh yang menembusi saluran internet di Makmal Perdana Kebangsaan Labuan atau MPKL. Nilai kasih sayang juga ditonjolkan apabila kakak Basirah iaitu Hanani mengingati hari jadinya dengan membawa kek harijadi.

3. Pengajaran yang terdapat dalam cerpen ini ialah kita hendaklah menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi.    



Latihan 2

1.    Senaraikan peribahasa yang terdapat dalam drama.

2.    Nyatakan watak yang kamu minat dalam drama ini.  Kemukakan perwatakan watak itu.


Jawapan

1.  Peribahasa yang terdapat dalam drama Di Sini Bakti Bersemadi.

     *   Lampu hijau

     *   Telunjuk lurus, kelengkeng berkait

     *   Cemburu buta

     *   Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung.



2.  Watak dan perwatakan yang diminati dalam drama Di Sini Bakti Bersemadi

     Tini

   *   Memiliki diploma.  

   *   Berkawan baik dengan Amin.  

   *   Bekerja sendiri-perusahaan kraftangan.  

   *   Gigih berusaha.  

   *   Tegas.   


        Amin

  *   Kawan baik Tini. 

 *  Mengusahakan penternakan ayam.  

 *  Menjadi sumber inspirasi untuk Tini bekerja sendiri di kampung.  

 *  Gigih berusaha memajukan bidang penternakan ayam.  

 *  Berpandangan jauh/berwawasan.  



 Latihan 3

1.      Huraikan tema prosa ‘Hikayat Anggun Cik Tunggal’ ini.

2.   Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu menyiasat sesuatu perkara dengan teliti sebelum membuat keputusan?


Jawapan:

1.    Tema prosa ‘Hikayat Anggun Cik Tunggal’ ini ialah sikap terburu-buru dan tidak usul periksa yang mewujudkan perselisihan faham.

2.    Pada pendapat saya, kita perlu menyiasat sesuatu perkara sebelum membuat keputusan terlebih dahulu kerana:
a.    Untuk mengelakkan perselisihan faham
b.    Untuk mengelakkan perbuatan yang disesali di kemudian hari.




Latihan 4

1.  Nyatakan tema novel Erti Sebuah Pengorbanan karya Zaihanim Zainal Abidin.

2.  Iman Zulaikha merupakan watak utama dalam novel Erti Sebuah Pengorbanan.
     Jelaskan tiga perwatakan bagi watak tersebut.

Jawapan




1.  Tema novel Erti Sebuah Pengorbanan karya Zaihanim Zainal Abidin ialah kasih sayang  
     iaitu usaha dan pengorbanan yang dilakukan oleh Iman Zulaikha untuk mengeratkan
     kembali hubungan kasih sayang antara kedua ibu bapanya yang telah lama berpisah.

2.  Iman Zulaikha merupakan watak utama dalam novel ini. Peranannya berkembang dari
     awal hingga ke kesudahan cerita. Tiga perwatakan Iman Zulaikha ialah
   
     a)  Penyayang.
          Iman Zulaikha merupakan seorang gadis berusia 13 tahun yang sangat penyayang.
          Beliau sangat sayangkan keluarganya. Iman Zulaikha telah cuba berusaha untuk
          menyatukan kembali ikatan kekeluargaan antara emak dan ayahnya yang telah
          berpisah kerana beliau sangat sayangkan kedua ibu bapanya. Akhirnya kedua ibu
          bapanya dapat bersatu kembali.

     b)  Gigih.
          Iman Zulaikha seorang yang kuat berusaha dan gigih dalam melakukan sesuatu
          tugasan yang diberikan guru kepadanya. Buktinya beliau telah gigih berlatih
          bersungguh-sungguh untuk menyertai pertandingan pidato peringkat sekolah dan
          daerah. Akhirnya beliau telah berjaya memenangi pertandingan tersebut dan menjadi
          Johan.

     c)  Pemaaf.
          Iman Zulaikha merupakan seorang yang pemaaf. Dia sanggup memaafkan kesalahan
          kawan sekelasnya, Linda yang telah banyak menyakiti hati dan perasaannya. Dia
          turut memaafkan kesalahan Linda  yang pernah menolaknya sehingga hatuh tangga
          dan mengambil diari serta teks pidatonya sebelum pertandingan.


Latihan 5


1.   Huraikan maksud rangkap ketiga sajak Burung-Burung Pagi.

2.   Kemukakan 3 pengajaran yang diperoleh dalam sajak Burung-Burung Pagi.

3.  Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah pengemis di negara kita?


Jawapan:

1.  Maksud rangkap ketiga itu ialah penyajak memerhatikan golongan pengemis yang berusaha mencari rezeki di tengah kota. Penyajak tertanya-tanya sama ada golongan ini mampu terus mendapatkan sedikit rezeki atau lebihan makanan daripada orang lain. Bagi penyajak, kota tersebut tidak sesuai bagi golongan ini untuk terus mendapatkan rezeki.

2.   Tiga pengajaran yang terdapat dalam sajak ini ialah:

a)    Kita hendaklah prihatin dengan kesusahan yang dialami oleh orang lain. Contohnya penyajak prihatin dengan nasib golongan pengemis.

b)    Kita hendaklah gigih berusaha untuk mendapatkan rezeki.  Contohnya golongan pengemis keluar awal-awal pagi untuk mencari rezeki.

c)    Kita seharusnya yakin dengan kemampuan diri.  Contohnya golongan pengemis yakin dengan kemampuan mereka untuk terus hidup dengan usaha mereka mencari rezeki.  

Langkah-langkah untuk membantu golongan pengemis di negara kita ialah:

a)    Menyediakan tempat perlindungan percuma untuk mereka.
b)    Memberi kemudahan percuma seperti pendidikan, kesihatan dan sebagainya.
c)    Membuka peluang pekerjaan kepada golongan ini.


CERPEN

GEMA SEPI GADIS GENIUS

Sinopsis
(AZMAH NORDIN)



Basirah merenung berbelas-belas komputer di Makmal Perdana. Namun tiadapun daripadanya berjudul program ‘antibusut’. Dalam keadaan fikirannya yang sedang kusut, Basirah terkenang akan kakaknya, Hanani semasa mereka masih kecil lagi, semasa Hanani di tadika sehinggalah Basirah melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Komputer. Banyak perbezaan antara mereka berdua.
           
            Selain itu, Basirah juga teringat akan ayahnya yang sentiasa sibuk. Basirah menjalani  praktikal  dengan menduduki jawatan timbalan pengurus makmal sistem komputer Makmal Perdana. Seperti kebiasaan, Basirah tercabar dengan masalah ‘busut’ yang dilonggokkan oleh pengurus makmalnya. Basirah bersemuka dengan teman-temannya, para timbalan pengurus. Basirah membentangkan masalah busut. Namun, dia dikritik. Ada ketikanya Basirah berasa sebak tetapi dia tidak akan menganggap kritikan sebagai jemputan untuk bertinju, sebaliknya sebagai satu alternatif.

            Oleh itulah, dia telah membuka buku log untuk merekod penceroboh. Basirah terkejut apabila penceroboh menyelongkar segala-galanya yang berkaitan dengan ketenteraan. Oleh itu, Basirah telah membawa masalah tersebut kepada teman sejawatnya. Basirah menganggap penceroboh tersalah sasaran. Sasaran penceroboh untuk menembusi  saluran internet di Makmal Perdana Kebangsaan Labuan atau MPKL.  Di sini berlaku  perbezaan pendapat antara Basirah dengan  rakannya.  Akhirnya Basirah membuat ujikaji dengan menggunakan alat osiloskop bagi menentukan jarak antara makmal dengan penceroboh. Lamunan Basirah terhenti apabila pintu yang terkuak berbunyi. Beberapa remaja tersembul di muka pintu makmal. Kakaknya datang membawa kek dan mengucapkan selamat hari jadi. Basirah cukup terharu. 

            Selepas itu, sekali lagi, osiloskop dipasang untuk mengesan gema pangilan dari luar. Ketika mereka sibuk mengesan gema, tiba-tiba penceroboh membuat panggilan di komputer-komputer makmal. Belum sempat dia memberi amaran agar berwaspada terhadap penyelia khususnya, penceroboh sudah lenyap dari skrin komputernya. Hanani  yang ada pada ketika itu menyarankan menggunakan umpan untuk menembusi tembok penceroboh. Hanani tersipu malu. Basirah menghubungi pensyarahnya tentang perkembangan terbaru. Selang beberapa minit, umpan mengena.

            Basirah telah menerima ucapan tahniah atas kejayaan  menyekat penceroboh. Akhirnya, Basirah menyaksikan impian untuk masa depan yang tidak pernah diimpikan selama ini menjadi kenyataan yang indah.
Tema
 

 Kepintaran seorang remaja dalam menangani masalah pengguna jahil (hacker) komputer.

Persoalan
 

1.  Persoalan kepintaran remaja dalam usia muda boleh menangani masalah penceroboh komputer. Contohnya:   Basirah dapat menangkap penceroboh yang menyelusup sistem di makmal.

2.    Persoalan kebolehpercayaan majikan untuk menerima remaja bekerja dalam bidang berkemahiran tinggi. Contoh:  Hari pertama dia dihantar menjalani praktikal oleh pusat pengajian tinggi.

3.    Persoalan kasih sayang antara adik beradik yang berbeza dari segi kepintaran. Contohnya:   Hanani dan Basirah berbeza dari segi kepintaran iaitu Basirah mahir dalam bidang komputer manakala Hanani mahir dalam bidang kesenian dan kesasteraan.


Plot 

 Permulaan
Basirah merenung berbelas-belas komputer di Makmal Perdana. Namun tiadapun daripadanya berjudul program ‘antibusut’. Dalam keadan fikirannya yang sedang kusut, Basirah terkenang akan kakaknya, Hanani semasa mereka masih kecil lagi, semasa Hanani di tadika sehinggalah Basirah melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Komputer. Banyak perbezaan antara mereka berdua. Selain itu, Basirah juga teringat akan ayahnya yang sentiasa sibuk.

Perkembangan
Basirah menjalani  praktikal  dengan menduduki jawatan timbalan pengurus makmal sistem komputer Makmal Perdana. Seperti kebiasaan, Basirah tercabar dengan masalah ‘busut’ yang dilonggokkan oleh pengurus makmalnya. Basirah bersemuka dengan teman-temannya, para timbalan pengurus. Basirah membentangkan masalah busut. Namun, dia dikritik. Ada ketikanya Basirah berasa sebak tetapi dia tidak akan menganggap kritikan sebagai jemputan untuk betinju, sebaliknya sebagai satu alternatif. Oleh itu, dia telah membuka buku log untuk merekod penceroboh.

Klimaks
Basirah terkejut apabila penceroboh menyelongkar segala-galanya yang berkaitan dengan ketenteraan. Oleh itu, Basirah telah membawa masalah tersebut kepada teman sejawatnya. Basirah menganggap penceroboh tersalah sasaran. Sasaran penceroboh untuk menembusi  saluran internet di Makmal Perdana Kebangsaan Labuan atau MPKL. Di sini berlaku  perbezaan pendapat antara Basirah dengan  rakannya.  Akhirnya Basirah membuat ujikaji dengan menggunakan alat osiloskop bagi menentukan jarak antara makmal dengan penceroboh. Dengan bantuan pensyarahnya, kakaknya, iaitu Hanani dan rakan-rakan Hanani, mereka berjaya mengesan penceroboh tersebut.

 Peleraian
Basirah telah menerima ucapan tahniah atas kejayaan  menyekat penceroboh.  Akhirnya, Basirah menyaksikan impian untuk masa depan yang tidak pernah diimpikan selama ini menjadi kenyataan yang indah.
  
Teknik penceritaan

1.  Deskriptif (pemerian)
     Contoh: Dia teringatkan ayahnya yang datang dan pergi macam angin, meninggalkan mereka di bawah jagaan pembantu rumah (m/s 4)

2.  Monolog dalaman- Baiklah! Bisik hatinya, juga tegas. Dia terfikirkan sesuatu (m/s 10)

3.  Imbas kembali 
Contoh:  Seingatnya, sewaktu Hanani baru menjejaki tadika biasa dulu, Basirah sudah pun lulus peperiksaan untuk memasuki sekolah kanak-kanak pintar yang terletak di pinggir bandar meninggalkan mereka di bawah jagaan pembantu rumah  (m/s 4).

4.  Imbas muka
     Contoh:  Hanani terus menghadapi masa hadapan dengan tenang dan tabah (m/s 17)


Watak dan Perwatakan



1.      Watak utama

        Basirah
Ø  Anak kepada seorang ahli perniagaan dan  berusia 14 tahun.
Ø  Anak kedua daripada dua beradik, kakaknya bernama Hanani.
Ø  Siswi dalam jurusan Sains Komputer.
Ø  Diterima membuat amali di Makmal Perdana di pusat bandar Kota Kinabalu.
Ø  Seorang yang pintar dalam bidang komputer.


2.      Watak sampingan

        Hanani
Ø  Anak sulung kepada ahli  perniagaan dan baru berusia 16 tahun.
Ø  Kakak kepada Basirah.
Ø  Seorang yang lincah dan kreatif.
Ø  Suka mengambil berat akan adiknya.
Ø  Mempunyai ramai kawan.
Ø  Seorang yang suka kegiatan rekreasi.

Latar 




Masa  
Ø  Siang – Basirah menjalani latihan amali di makmal sistem komputer di Makmal
     Perdana
Ø  Malam – Hanani berbual-bual dengan Basirah di rumah
Ø  Hari minggu – Basirah terpaksa menyelesaikan kerjanya yang banyak di
     makmal sistem komputer, Makmal  Perdana

Tempat     
Ø  Makmal sistem komputer di Makmal Perdana – tempat Basirah menjalani latihan
    amali  tahun akhir jurusan Sains Komputer
Ø  Pusat bandar Kota Kinabalu – tempat letaknya Makmal Perdana
Ø  Sekolah kanak-kanak pintar – tempat Basirah belajar semasa zaman kanak-
    kanak
Ø  Institusi pengajian tinggi di Semenanjung – tempat Basirah belajar sebagai siswi
    jurusan Sains Komputer

Masyarakat
Ø  Masyarakat yang celik komputer – Basirah, pekerja di makmal sistem komputer, Makmal    
     Perdana, dan rakan-rakan Hanani mahir menggunakan komputer
Ø  Masyarakat  terpelajar – Basirah merupakan sisiwi tahun akhir jurusan Sains Komputer di  
    sebuah institusi pengajian tinggi
Ø  Masyarakat remaja yang gemar akan aktiviti rekreasi – Hanani dan rakan-rakannya 
    mengikuti aktiviti rekreasi seperti berdiskusi sastera di pantai, berkayak, dan mendaki 
   gunung

Gaya Bahasa
 


1.    Metafora  
      Contoh: Meniti buih di jeram (m/s 3), mata fikir (m/s 2)

2.    Diksi         
      Bahasa Inggeris -  hyperintelligent (m/s2), the exterminator (m/s 8)
      Bahasa IT  -  Sotware (m/s 1), user (m/s 1), hacker (m/s 2)
      Istilah Sains -  Osiloskop (m/s 11)

3.    Hiperbola
      Contoh: Menggunung secara halimunan juga (m/s 9)


4.    Sinkope    
      Contoh: Dah (Sudah), Kak (Kakak)

5.    Simplok    
      Contoh: Dipuji macam bidadari
      Contoh: Draikan macam puteri (m/s 16)

6.    Perlambangan
      Contoh: Busut

Nilai
  

1.    Nilai kasih sayang
      Kakaknya menatang sebuah kek yang comel ke dalam makmal sempena hari jadi  
      Basirah yang ke-14.

2.    Nilai berusaha
      Basirah telah berusaha menyekat penceroboh komputer sehingga telah berjaya.

3.    Nilai bertanggungjawab
      Basirah bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan kepadanya.

Pengajaran
 


1.      Kita hendaklah mempunyai perasaan kasih sayang antara adik beradik walaupun mempunyai tahap kepintaran yang tidak sama.

2.      Kita hendaklah berusaha sedaya upaya apabila melakukan sesuatu pekerjaan.

 3.    Kita hendaklah bertanggungjawab atas apa yang diberikan kepada kita